KUALA LUMPUR, 9 September – Persaingan merebut trofi Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) kini semakin mendebarkan apabila kesemua calon akhir bagi 32 kategori telah diumumkan hari ini.
AIM25 menyaksikan karya munsyid tempatan bersaing dengan artis pelbagai genre dalam 4 kategori, di samping 5 calon akhir bagi kategori Lagu Nasyid Terbaik.
Kategori Album Terbaik menampilkan Naim Daniel dan Ustaz Adnin Roslan (Lelaki Gila), akan berentap bersama Shila Amzah dengan Sa25, Dato’ Sri Siti Nurhaliza (Gema Bumantara), Aisha Retno ([RE.HAB]) dan Faizal Tahir (Jati Diri).
Naim Daniel dan Ustaz Adnin Roslan menerusi Seni Berdamai Dengan Takdir juga tercalon dalam kategori Lagu Pop Terbaik, berentap bersama Dolla (Question), Alpha (P Ramlee Saloma), Amira Othman (Dalam Sujudku) dan Aisha Retno (Diari Air Mata).
Kumpulan Inteam yang memenangi kategori Vokal Kumpulan Terbaik AIM24 tampil sebagai calon kategori sama bagi edisi kali ini menerusi lagu Satukan Kami Di Syurga, berentap bersama Fetya (Balaklava), Madinah (Rindu Kubah Hijau), KRU (Agung) dan Alpha (P Ramlee Saloma).
Lagu Nasyid Terbaik menyaksikan Yusuf Kassim dengan Sebelum Mata Terpejam Selamanya berjaya menduduki 5 calon akhir bersama-sama Iwan Syahman (Malam Pertama Di Syurga), Munif Hijjaz dan Far East (Asma’ Dzatun Nithaqain), Inteam (Satukan Kami Di Syurga) dan Halim Ahmad (Fitnah Akhir Zaman).
Yusuf Kassim menerusi Sebelum Mata Terpejam Selamanya juga tercalon bagi kategori Artis Baru Terbaik bersama-sama Rezza Shah (Mungkin), Ary Hussin (Luka Terpaling Dalam), QalG- (Sepi) dan Alpha (Mona Lisa).
Sebanyak 135 lagu telah disenaraipendek daripada 600 pencalonan awal yang merangkumi karya rakaman yang diterbitkan antara 1 Januari hingga 31 Disember 2025.
AIM25 bakal mencatatkan sejarah penyiaran di luar Kuala Lumpur apabila majis anugerah itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 26 September ini bersempena sambutan jubli peraknya. – NasyidKita
