KUALA LUMPUR, 20 Januari – Qari muda dan penyanyi, Ammar Mukhlis memohon maaf kepada semua pihak atas kesilapannya membawakan bacaan ayat Al-Quran semasa persembahan pembukaan Konsert Nostalgia Serikandi yang berlangsung pada 10 Januari lalu.
Menjelaskan situasi yang berlaku, Ammar menjelaskan keberadaannya dalam konsert tersebut adalah bertujuan memulakan program dalam keadaan yang tertib, tanpa iringan muzik dan tiada sorakan daripada penonton yang hadir tanpa niat untuk mencemarkan kesucian Al-Quran.
“Walau bagaimanapun, saya dengan penuh keinsafan mengakui bahawa kemuliaan dan keagungan Al-Quran perlu dijaga dengan sebaik-baiknya, bukan sahaja dari sudut bacaan tetapi juga dari segi konteks, suasana dan adab pelaksanaannya. Perkara yang berlaku berpunca daripada kekurangan penelitian dan kelemahan saya sendiri dalam memastikan adab terhadap al-Quran dipelihara secara menyeluruh,” katanya di laman media sosial.
Terdahulu, Ammar Mukhlis dan seorang lagi qari dan penyanyi, Furqan Fawwaz membacakan Surah Al-Waqiah dalam persembahan pembukaan di konsert yang berlangsung di IDCC Shah Alam. – NasyidKita
