KUALA LUMPUR, 24 Disember – Waktu siaran baharu Salam FM yang akan memulakan siaran jam 12 tengah malam hingga 8 pagi bermula 1 Januari 2026 merupakan antara langkah penjenamaan baharu yang bakal diperkenalkan oleh stesen radio di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) tahun hadapan.
Pengarah Penyiaran JAKIM, Wan Azhan Wan Hamat ketika mengumumkan perkara tersebut pada Pra-Pelancaran Penjajaran Masa Siaran Asyik FM dan Salam FM berkata, penjajaran masa siaran tersebut bagi memastikan pendengar setia radio itu akan lebih dekat dengan penyampai-penyampai yang bersiaran selama 8 jam setiap hari, berbanding 6 jam sebelum ini.
“Pada tahun 2025, Lail@Salam dan Pagi@Salam bersiaran dengan interaksi bersama penyampai selama 3 jam setiap segmen dan siaran automasi Qiam@Salam juga selama 3 jam. Dengan penjajaran baharu ini, siaran Salam FM akan membawakan kandungan yang lebih inklusif, lebih interaksi dan mesra pendengar,” katanya.
Sebelum ini, waktu siaran radio tersebut bermula jam 11 malam hingga 8 pagi. Menerusi penjajaran masa siaran tersebut, Salam FM akan bersiaran dengan dua segmen iaitu Salam Santai dan Pagi@Salam.
Turut diumumkan pada majlis tersebut adalah logo dan slogan baharu yang akan dirasmikan pada Februari tahun hadapan.



Dalam pada masa sama, Pengarah Bahagian Program Radio RTM Saifuzzaman Yusop memaklumkan penjenamaan semula itu bakal memperluas kerjasama dengan radio-radio di bawah stesen penyiaran awam milik kerajaan itu dengan penglibatan dalam program-program yang telah dirancang tahun hadapan.
“Terdapat juga perancangan bagi menjadikan Salam FM sebuah stesen yang akan bersiaran 24 jam di dua platform iaitu di frekuensi-frekuensi kebangsaan dan menerusi RTMKlik,” katanya.
Salam FM merupakan sebuah stesen radio yang telah memulakan siarannya pada 15 Februari 2009, menyiarkan rancangan-rancangan berbentuk dakwah serta menyiarkan lagu-lagu bergenre nasyid dan ketuhanan. – NasyidKita
