KUALA LUMPUR, 15 Disember – Memperkukuh jenama stesen televisyen berkonsep gaya hidup Islam nombor satu di Malaysia, TV AlHijrah bakal menyiarkan Konsert Malam Hijrah Bergema yang diadakan pada 31 Disember ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, konsert ambang tahun baharu ini merupakan hasil idea Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat Malaysia dan meraikan penyampaian dakwah dalam bentuk seni.
“Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah santapan jiwa yang membangkitkan rasa syukur, refleksi dan harmoni ketika kita melangkah menuju tahun baharu,” katanya pada sidang media program kemuncak akhir tahun saluran itu pada 11 Disember lalu.
Konsert Malam Hijrah Bergema bakal menghimpunkan barisan artis ternama seperti Rabbani, Raihan, UNIC, Lah Ahmad, Hijjaz, Mawi, Sufian Suhaimi, Simfoni, Rabithah, Fine, Aeydan, Onepath dan Andika, di samping menampilkan penyanyi legenda Datuk Hattan, Dato’ Jamal Abdillah dan Dato’ Nash.

Menampilkan dua hos, Faizal Ismail dan Ustaz Nabil Ahmad, siaran langsung yang akan disiarkan melalui saluran dan strim di aplikasi Alhijrah Plus itu turut akan disiarkan menerusi IKIMfm sebagai rakan penyiar radio.
Terdahulu, pendaftaran pas masuk percuma konsert yang dibuka pada 3 Disember lalu telah penuh kurang 30 minit selepas dibuka pada jam 9.15 malam.





Menurut Namanzee, konsert tersebut adalah antara 5 program yang akan menutup tirai 2025. Selain daripada konsert dan Anugerah Carta 114 yang bakal disiarkan pada 27 Disember ini, pengisian ilmu menerusi Konvensyen Assalamualaikum akan dianjurkan pada 30 Disember ini, manakala program on-the-go di aplikasi AlHijrah Plus akan menyiarkan program Tunggu Sekejap dan 5 telefilem dengan penglibatan pelakon-pelakon hebat. – NasyidKita
