KUALA LUMPUR, 14 Disember – Seiring dengan perkembangan industri hiburan masa kini, Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (MUNSYID Malaysia) mencadangkan agar kategori “Artis Nasyid Popular” dikembalikan pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) tahun hadapan.
Presiden MUNSYID Malaysia Muhammad Hazamin Harun berkata, kewujudan semula kategori tersebut adalah relevan dengan kebangkitan semula seni nasyid kebelakangan ini dan penerimaan meluas masyarakat yang mencari muzik alternatif yang berunsur kerohanian dan ketuhanan, di samping peningkatan jumlah kumpulan dan artis solo nasyid baharu.
“MUNSYID Malaysia juga melihat kandungan nasyid yang sering tular di platform digital dan media sosial membuktikan irama nasyid bukan lagi terhad kepada segmen tertentu, malah telah berkembang sebagai satu bentuk hiburan dan dakwah kontemporari yang merentas generasi, bahasa dan latar belakang. Kewujudan semula kategori nasyid dalam ABPBH bukan sahaja akan memberi pengiktirafan yang adil kepada penggiat genre ini, malah berupaya menyuntik semangat baharu serta menggalakkan kepelbagaian genre dalam landskap industri hiburan negara,” katanya pada siaran media pada 13 Disember.
ABPBH merupakan acara anugerah hiburan pilihan peminat anjuran Berita Harian setiap tahun sejak 1987. Bertahan selama 37 tahun penganjurannya, sebelum ini acara ini dikenali sebagai Anugerah Penyanyi dan Pelakon Popular (APPP). Kali terakhir kategori “Artis Nasyid Popular” dipertandingkan adalah pada ABPBH edisi ke-24 menerusi kemenangan kumpulan Rabbani. – NasyidKita
