KUALA LUMPUR, 6 Disember – Persaingan di Anugerah Carta IKIMfm (ACI) 2025 menyaksikan generasi senior penasyid akan menerima saingan daripada penasyid muda dan berpotensi untuk memperoleh gelaran juara program tersebut.
Pertembungan generasi bapa dan anak seperti Rabbani dalam lagu Husnul Khatimah dan Aeydan yang mempersembahkan lagu Bintang antara 10 lagu yang bakal merebut gelaran juara pada program itu.
Penasyid senior lain yang bakal memberi tentangan pada ACI adalah Fine & Daqmie bagi lagu Khadijah Cinta Dari Syurga, Awla (Ulul Azmi), Ustaz 3 Beradik & Fadzli Far East (Putusnya Butir Tasbihku) serta Hafiz Hamidun & Halim Yazid (Zikir Dikir).
Turut bakal mewarnai program tersebut adalah penasyid muda seperti Simfoni bergandingan dengan Ezad Lazim untuk lagu Terus, Aniq Muhai (Jangan Risau), Syed Salahuddin & One Path (Malar Hijau) dan kumpulan Fetya (Taufan Al Aqsa).
Pengumuman 10 lagu yang layak ke ACI diumumkan secara rasmi pada Showcase ACI di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Selangor, hari ini. Turut hadir ke pengumuman tersebut adalah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Pengumuman yang diadakan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam itu diserikan dengan persembahan kumpulan Rabithah yang mempersembahkan 10 lagu yang layak ke pusingan akhir.
Ketua Pengarah IKIM dalam ucapannya berkata, acara kemuncak ACI yang merupakan antara program yang diatur bersempena sambutan Jubli Perak IKIMfm akan berlangsung pada 3 Januari hadapan di Dewan Agung Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi MARA Shah Alam.
ACI 2025 merupakan program kemuncak bagi Carta Nasyid IKIMfm yang bersiaran pada tahun 2022 dan tamat pada Ogos tahun ini. Proses pemilihan bagi memilih 20 lagu yang layak ke peringkat separuh akhir dilakukan pada 22 hingga 23 September lalu. – NasyidKita
