KUALA LUMPUR, 1 Disember – Selepas 10 minggu melalui proses penilaian di peringkat separuh akhir, pentas akhir anugerah berprestij carta nasyid kendalian IKIMfm, Anugerah Carta IKIMfm (ACI) akan berlangsung pada 3 Januari tahun hadapan di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Penerbit ACI, Mohd Erwan Johari berkata, 10 lagu yang terpilih ke peringkat akhir merupakan antara 20 lagu yang telah dinilai oleh juri profesional diketuai oleh Farihin Abdul Fatah pada rancangan Road To Final ACI2025 yang disiarkan secara atas talian bermula 8 Oktober lalu.
“IKIMfm juga terlibat aktif dalam memartabatkan irama nasyid dengan penganjuran kali keenam anugerah carta dalam pelbagai perubahan nama rancangan dan format yang lebih segar. ACI yang bakal berlangsung juga disusun bersempena sambutan Jubli Perak IKIMfm yang akan diraikan pada tahun 2026,” katanya.
Menurut Mohd Erwan, ACI mempertaruhkan 12 kategori dengan 6 kategori utama iaitu juara, naib juara, tempat ketiga, lirik terbaik, vokal terbaik dan persembahan terbaik yang akan dinilai secara langsung.
Mohd Erwan juga turut mengajak peminat lagu nasyid untuk mendapatkan tiket bagi menonton secara percuma pada acara pengumuman senarai peserta akhir yang bakal berlangsung pada 6 Disember ini di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. – NasyidKita
