
KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Bersaing dengan peserta dan pengurus yang berpengalaman dalam industri seni, pasangan Hadie dan pengurus Ina Naim menggunakan aura dan kekuatan tersendiri dalam Grand Finale Talk To My Manager (TTMM) yang berakhir pada Ahad lalu.
Mengenakan busana berwarna ungu, Hadie menampilkan kekuatan vokalnya yang tersendiri dalam lagu ‘Lelaki Seperti Aku’ daripada Alif Satar dalam persembahan pertama dan lagu ‘Impian Kasih’ berduet bersama Inteam di persembahan kedua.
Kedua-dua persembahan telah menerima pujian daripada juri tetap, Dato’ AC Mizal dan Che Puan Sarimah Ibrahim yang melihat potensi tona suara Hadie dan kemajuan persembahan dari minggu pertama hingga ke minggu akhir.
Di akhir program, Hadie diumumkan sebagai pemenang tempat kelima dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 serta trofi.
TTMM menyaksikan pasangan Marsya dan pengurus Liza Hanim berjaya menduduki tempat pertama, mengalahkan Hadie dan empat peserta lain iaitu Thalita, Amad, Ammar dan Auddra. Marsya membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan sebuah single baharu.
Berlangsung selama 8 minggu, konsert Talk To My Manager bersiaran setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria dan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam. – NasyidKita