
KUALA LUMPUR, 29 September – Minggu separuh akhir Talk To My Manager (TTMM) berlangsung cemerlang apabila Hadie dan pengurus Ina Naim mula menunjukkan potensi sebenar untuk bergelar juara.
Hadie yang membawakan lagu ‘Yang Penting Happy’ nyata berjaya mencuri perhatian penonton dan juri apabila para juri tetap amat berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan.
Mengenakan tajaan busana kemeja sequin berona merah hati dan seluar hitam daripada Faiesh Syazwan, ‘Yang Penting Happy’ merupakan lagu bergenre dangdut yang dinyanyikan oleh penyanyi asal Jamal Mirdad.
Walaupun berjaya melaksanakan tugasan dengan baik, Hadie terpaksa akur apabila dipanggil di segmen penyingkiran kerana berada di kedudukan antara yang terendah. Peserta yang berada di kedudukan tercorot, pasangan Auddra dan Sharifah Shahirah bernasib baik kerana diselamatkan oleh juri tetap, Che Puan Sarimah Ibrahim menerusi ‘Gold Card’.
Menerusi peringkat akhir, Hadie bakal membawakan persembahan lagu ‘#AwakKatMane’ nyanyian Taufik Batisah bagi segmen ‘Recharge’ dan lagu Rapuh nyanyian Opick dalam segmen ‘Re-Duel’.
TTMM bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam dan bersiaran menerusi Astro Ria dan siaran belakang tabir di Youtube Astro Gempak. TTMM menggunakan sistem penjurian 100 peratus daripada juri profesional, strategi pengurus kepada peserta membawa 60 peratus, manakala 40 peratus adalah daripada kualiti vokal peserta dan keunikan persembahan. – NasyidKita