
KUALA LUMPUR, 25 September – Tempoh lebih 30 tahun pastinya merupakan suatu masa yang panjang buat kumpulan Rabbani dan Hijjaz dalam melebarkan pengaruh genre nasyid di Malaysia selepas ahli kumpulan Nadamurni membawa haluan dan menubuhkan kumpulan masing-masing.
Selepas lebih tiga dekad kedua-dua kumpulan ini menjadi kumpulan nasyid popular, mereka bakal bergabung semula dalam menjayakan sebuah persembahan pentas, Konsert Lagenda Nadamurni pada 7 Disember ini.
Lebih menarik, hampir kesemua ahli asal Nadamurni yang terdiri daripada ahli kumpulan Rabbani dan Hijjaz akan bergabung di pentas yang sama di Idea Live Arena, Petaling Jaya. Bertemakan “Kembara Kasih Ilahi,” konsert tersebut merupakan anjuran Karri Talk Production dan Westzone Entertainment.
Sambil meletakkan keyakinan persembahan Nadamurni akan tampil berbeza pada konsert itu nanti, ahli Rabbani, Azadan Abdul Aziz, berkata konsert ini akan mengetengahkan persembahan pelbagai bentuk termasuk sajak khas bertajuk Kelahiran sebagai pembuka tirai, tarian munajat, pantomim pertarungan antara hati dan nafsu serta sajak Sakaratul Maut oleh Pak Dinie Juri.
Selain Pak Dinie Juri, turut menjadi artis jemputan pada malam tersebut ialah kumpulan Saujana & Ustaz Akhil Hayy.
Turut berkongsi harapan, Isman Nadim menyatakan konsert ini akan menjadi hadiah istimewa Nadamurni kepada semua peminat Nadamurni yang sentiasa menantikan mereka kembali di atas pentas.
Peminat irama nasyid yang ingin mendapatkan Konsert Lagenda Nadamurni boleh membuat pembelian tiket bermula 26 September ini menerusi platform Ilasso Tickets dan Fantopia. Tiket bermula dari harga RM128 hingga RM258 dan turut dibahagikan kepada kategori tempat duduk khas lelaki, wanita dan keluarga. – NasyidKita