
KUALA LUMPUR, 22 September – Perjalanan Hadie dalam program realiti televisyen Talk To My Manager (TTMM) diteruskan dengan penyanyi itu terselamat daripada disingkirkan pada konsert suku akhir yang berlangsung pada Ahad.
Sebaliknya, Athalia dan pengurus yang merupakan penyanyi Sharifah Zarina telah diumumkan sebagai pasangan kedua yang tersingkir pada konsert tersebut. Pengumuman penyingkiran dilakukan oleh pengacara, Datuk Aznil Haji Nawawi.
Walaupun berada di kedudukan kedua terakhir, Hadie dan pengurus Ina Naim terselamat dengan peratusan undi 68 peratus berbanding Athalia – Sharifah Zarina dengan hanya 64 peratus.
Di minggu keempat, Athalia juga diumumkan sebagai pasangan peserta yang mendapat markah terendah, namun diselamatkan dengan pengunduran pasangan Ara Aziz dan pengurus Aziz M. Osman pada program itu.
Terdahulu, Hadie membawakan lagu Srikandi Cintaku nyanyian Datuk M. Nasir dalam konsert peringkat suku akhir itu. Mendedahkan lagu tersebut merupakan lagu kegemaran ayahnya yang juga penyanyi, Allahyarham Suhaimi Saad membantu persembahan peserta tersebut.
Menerusi komen yang diberikan oleh juri tetap Che Puan Sarimah Ibrahim dan Datuk AC Mizal, rata-ratanya menasihatkan agar peserta dapat mengawal emosi di atas pentas agar pembawaan dan penghayatan lagu yang disampaikan dapat diterima oleh penonton.
Berbaki 2 minggu bersiaran, TTMM bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam dan bersiaran menerusi Astro Ria dan siaran belakang tabir di Youtube Astro Gempak. Menggunakan sistem penjurian 100 peratus daripada juri profesional, strategi pengurus kepada peserta membawa 60 peratus, manakala 40 peratus adalah daripada kualiti vokal peserta dan keunikan persembahan. – NasyidKita