
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Terinspirasi daripada versi-versi selawat yang dibawakan oleh pengkarya dan pendakwah di majlis-majlis selawat di seluruh dunia, penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun melancarkan single terbaharu berjudul Ishfa’ Lana.
Hafiz berkata, pemilihan tarikh pelancaran karya ini bertepatan dengan sambutan Maulidur Rasul yang bakal disambut umat Islam pada 5 September nanti.
“Istimewanya Ishfa’ Lana versi saya ini, ia menampilkan kolaborasi pemuzik dari dalam dan luar negara, selain rakamannya dilakukan di Malaysia dan Istanbul,” katanya ketika ditemubual dalam program Selamat Pagi Malaysia.
Penggambaran video muzik Ishfa’ Lana yang dilakukan di Masjid Sultanahmet telah disiarkan bermula malam tadi di platform Youtube Hafiz Hamidun.
Membuka ‘rahsia’ tentang tentang perkembangan terbaharu Hafiz, Ishfa’ Lana merupakan salah satu daripada 14 buah lagu yang akan dimuatkan dalam album terbaharunya yang dijadualkan menemui peminat pada awal tahun depan.
“Album ini masih dalam pembikinan. Ishfa’ Lana ini ialah single pertama dan kita akan keluarkan sedikit demi sedikit lagu-lagu dalam album ini,” katanya.
Berkongsi harapannya terhadap Ishfa’ Lana dan album terbaharunya, Hafiz berharap agar karyanya dapat menyentuh hati masyarakat untuk sentiasa menjadikan selawat sebagai satu terapi dan makanan rohani.
Ishfa’ Lana dapat didengarkan menerusi platform strim digital. – NasyidKita