
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Menjelang Showcase Devotees 2025 yang bakal berlangsung pada 31 Ogos ini, kumpulan nasyid Devotees berkongsi keterujaan mereka untuk menjayakan persembahan pentas dengan menyenaraikan ‘setlist’ lagu yang bakal dinyanyikan oleh mereka.
Tidak dapat dipastikan senarai yang dikongsikan adalah mengikut turutan persembahan atau sekadar susunan rawak, lagu-lagu yang bakal dipersembahkan pada malam tersebut adalah Mencari Cinta, Berjalan Tanpa Henti, Sahabatku, Mahar Cinta, Luahan Rindu, Setiap Kali, Lament, Erti Bahagia, Kekasih, Tika Dinihari dan Bersama. Lebih menarik, persembahan Devotees bakal diiringi oleh gitar, gitar bass, drum, keyboard dan perkusi.
Sebelum ini, jualan tiket bagi fasa 1 mendapat sambutan yang menggalakkan pada 1 Julai lalu apabila berjaya menjual kesemua tiket dalam tempoh satu hari. Pembeli-pembeli tiket telah mendapat emel notifikasi berkenaan tiket, tempat duduk dan kaedah pendaftaran bermula Isnin lalu.
Bagi memberi ruang kepada peminat yang ingin hadir, Showcase Devotees membuka jualan tiket fasa 2 bagi kategori tempat duduk ‘Bersama’. Tinjauan NasyidKita mendapati masih terdapat tiket yang belum terjual bagi kategori tempat duduk tingkat atas tersebut bagi peminat-peminat yang mahu mendapatkan tiket di saat-saat akhir.
Showcase Devotees yang bakal berlangsung Main Auditorium, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak itu bakal menggabungkan Muhammad, Shauqi dan Adi Akmal dan Halim Ahmad selepas lama tidak menjayakan persembahan pentas sebelum ini. – NasyidKita