
KUALA LUMPUR, 14 Februari – Industri nasyid tempatan dikejutkan dengan satu kenyataan kumpulan nasyid Inteam menerusi platform Facebook yang mengumumkan salah seorang ahli, Hazamin telah keluar daripada kumpulan tersebut.
Di bahagian komen, ada peminat yang terkejut dengan kenyataan tersebut dan tidak kurang juga ada yang telah memasang angan-angan untuk menggantikan Hazamin yang telah bersama kumpulan itu sejak tahun 2000.
Namun, jangan salah sangka kerana kenyataan itu sebenarnya adalah sebuah pengumuman mengenai projek solo terbaharu Hazamin bertajuk ‘Di Sisimu’.
Menurut Hazamin atau nama sebenarnya Muhammad Hazamin Harun, projek solo ini mendapat sentuhan Ito Lara sebagai penulis lirik dan Arie Tidar sebagai komposer. Lagu ini merupakan trek bonus dalam album Zikir Munajat yang akan dilancarkan pada Ramadan tahun ini.
“Lagu ini merupakan sebuah lagu munajat dan taubat yang mengambil perspektif perlunya kita memohon keampunan pada Allah dalam masa yang sama memohon kemaafan atas kesalahan kita sesama manusia,” kata Hazamin menerusi laman Facebooknya.
‘Di Sisimu’ boleh didengarkan di platform digital seperti Spotify dan Apple Music, manakala muzik video lagu ini akan dilancarkan tidak lama lagi. – NasyidKita