
KUALA LUMPUR, 6 Februari – Setelah mengungguli Anugerah Persembahan Terbaik pada Anugerah Carta 114, video muzik lagu Abu Ubaidah telah diturunkan oleh platform Youtube pada Selasa lalu.
Berita mengejutkan ini dikongsikan oleh ahli kumpulan Darwish, Faiz di platform Facebook yang terkilan dengan tindakan tidak bertanggungjawab platform Youtube.
Menurut Faiz, syarikat FMC sebagai syarikat yang memasarkan lagu ini juga telah gagal bagi mengembalikan semula video muzik tersebut setelah membuat rayuan kepada pengendali platform tersebut.
Syarikat FMC telah memuatnaik video lirik Abu Ubaidah di saluran Youtube mereka bagi menggantikan muzik video tersebut.
Lagu Abu Ubaidah merupakan sebuah lagu ciptaan sepenuhnya Faiz Darwish mengenai figura penting iaitu jurucakap tentera Al-Qassam yang digeruni musuh. Lagu ini telah disiarkan di semua platform digital FMC pada 9 Ogos tahun lalu, manakala muzik video yang menampilkan PU Azman itu telah menerima 200 ribu tontonan sejak dimuatnaik. – NasyidKita