
KUALA LUMPUR, 4 Februari – Selepas kejayaan eksperimentasi lagu Bintang, kumpulan nasyid Aeydan kini tampil dengan single terbaharu mereka bertajuk Purnama.
Menurut kumpulan itu, Purnama berkisarkan sebuah karya agung yang mengangkat tema cinta sejati terhadap Baginda Rasulullah SAW.
“Berbeza dengan lagu sebelumnya, Purnama menyampaikan mesej yang lebih terus dan jelas, menonjolkan keindahan akhlak Nabi Muhammad SAW sebagai inspirasi sejati umat Islam,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Lirik yang dihasilkan oleh pencipta lirik Ito Lara dan dipadukan dengan melodi mempersonakan hasil sentuhan komposer Hafiz Hamidun diharapkan dapat menyentuh jiwa para pendengar nasyid.
“Sokongan dan harapan Aeydan terhadap kemunculan single terbaru Purnama adalah agar lagu ini menjadi asbab kepada Aeydan, semua pendengar dan peminat untuk terus mencintai serta merindui junjungan besar Nabi Muhammad SAW seterusnya memperoleh syafaat daripada baginda SAW,” kata kumpulan itu.
Aeydan merupakan kumpulan nasyid yang terdiri daripada lima anak muda berbakat besar iaitu Ilham, Izwan, Farhan, Haikal dan Fardeen yang merupakan anak-anak kepada anggota kumpulan nasyid terkenal Rabbani.
Dilancarkan secara rasmi pada 27 Januari lalu, Purnama boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi mereka, Aeydan Channel dan dapat didengar di semua platform digital. – NasyidKita