
KUALA LUMPUR, 26 Januari – Bekas anggota kumpulan hip hop terkenal, One Nation Emcees, Nur Hasan Balas atau lebih dikenali sebagai Jojoe meninggal dunia hari ini ketika menghadiri Ijtimak Qudamak di Markas Dakwah Sri Petaling pada tengah hari tadi.
Berita pemergian Jojoe disahkan oleh rakan-rakannya menerusi hantaran di media sosial.
Memetik laporan mStar dan Buletin TV3, Mimy Fly iaitu vokalis One Nation Emcees memaklumkan Allahyarham juga pernah diserang penyakit angin ahmar dan mahu dikebumikan di tanah perkuburan di lokasi dia menghembuskan nafas terakhir.
Dikhabarkan beliau juga pernah dimasukkan ke hospital kerana serangan jantung pada Oktober tahun lalu.
Allahyarham amat aktif dalam bidang nyanyian dan koreografi tarian, sebelum meninggalkan dunia seni bagi menumpukan perhatian kepada usaha dakwah, termasuklah terlibat dalam tabligh.
NasyidKita ingin mengucapkan salam takziah buat keluarga Allahyarham, semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. – NasyidKita