
KUALA LUMPUR, 8 Januari – Ibu kepada Azadan Abdul Aziz, Khadijah Abdul Jamal, 84, dilaporkan meninggal dunia pagi ini. Berita pemergian Allahyarham dikongsikan Azadan yang juga merupakan ketua kumpulan Rabbani di laman Facebooknya.
Menurut Berita Harian, Allahyarham meninggal dunia dalam tidur di kediaman anak sulungnya di Kuang, Selangor dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Kundang di sini, selepas solat Zuhur.
Azadan berkata, Allahyarham ibunya itu sudah dua tahun terlantar sakit akibat pembuluh darah di otak pecah pada 24 Ogos 2022 dan pernah koma lebih tiga bulan di Hospital Sungai Buloh (HSB).
Allahyarham meninggalkan 10 cahaya mata iaitu sembilan lelaki dan seorang wanita serta lebih 30 cucu.
NasyidKita ingin mengucapkan salam takziah kepada keluarga Azadan Abdul Aziz, semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. – NasyidKita