KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Penyanyi lagu nasyid terkenal, Ustaz Amal melangkah ke fasa baharu kehidupannya selepas melangsungkan perkahwinan dengan seorang guru al-Quran, Rozilah Buyong, dalam sebuah majlis sederhana yang berlangsung hari ini.
Menurut portal berita BH Online, majlis akad nikah yang telah berlangsung di Kampung Melayu Gombak, Kuang pada jam 9 pagi turut dihadiri oleh ahli keluarga, sahabat dan kenalan rapat, manakala majlis walimah di Surau Al-Hidayah pada 25 Oktober ini dijangka dihadiri kira-kira 1,000 tetamu, termasuk tokoh agama dan penggiat-penggiat nasyid.

Ustaz Amal yang berusia 57 tahun dan berasal dari Kangar, Perlis berkahwin dengan pasangan baharunya yang juga berusia 57 tahun dan menetap di Kampung Gombak, Kuang.
Perkahwinan tersebut merupakan perkahwinan kedua Ustaz Amal selepas isterinya, Ruzana Mohamad Hamim meninggal dunia pada Mei lalu, akibat komplikasi penyakit kencing manis. Perkahwinan Ustaz Amal dan Allahyarham Ruzana dikurniakan lima cahaya mata sepanjang tempoh 33 tahun perkahwinan.
Popular dengan alunan zikir dan lagu-lagu nasyid sezaman dengan kumpulan lagenda seperti Nadamurni dan Raihan, Ustaz Amal merupakan mantan Presiden Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (MUNSYID Malaysia) dan kini berperanan sebagai penasihat Surau Al-Mustaqim, Saujana Utama. – NasyidKita
