
KUALA LUMPUR, 13 Julai – Presiden Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (MUNSYID Malaysia), Muhamad Razin Che Mud secara rasmi mengumumkan peletakan jawatan yang disandang sejak tahun 2017.
Beliau yang juga antara pengasas penubuhan organisasi tersebut pada tahun 2012 memaklumkan berita itu menerusi laman Facebooknya pada 11 Julai lalu.
“Setelah lapan tahun memimpin MUNSYID Malaysia, telah tiba masanya untuk organisasi ini menerima suntikan tenaga, idea dan semangat baharu untuk membawanya ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Sepanjang tempoh kepimpinannya, MUNSYID Malaysia berkembang daripada sebuah organisasi kecil kepada entiti berpengaruh dalam industri nasyid tanah air. Menurutnya, organisasi tersebut kini dikenali dan dipercayai oleh pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, korporat, media serta NGO.
Antara perubahan yang dilakukan dalam pentadbiran Razin ialah penganjuran acara-acara nasyid di seluruh neagra seperti Festival Nasyid Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Festival Nasyid Sekolah-Sekolah anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia serta pertandingan nasyid berkonsep komersial seperti Anugerah Nasyid IKIM, Anugerah Nasyid Malaysia (ANAM) dan Carta 114 di TV Al-Hijrah.
Selain itu, beliau turut berbangga dengan peningkatan data digital untuk kandungan nasyid dan Islamik, penglibatan syarikat rakaman antarabangsa dalam kandungan berbentuk Islami serta kejayaan Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun Inteam yang menjadi fenomena apabila tiket habis dijual dalam masa kurang sejam.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua barisan kepimpinan dan ahli MUNSYID Malaysia yang telah bersama-sama membina organisasi ini selama lapan tahun beliau menerajui pucuk pimpinan.
Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MUNSYID Malaysia bakal berlangsung pada 13 Julai di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong bagi memilih kepimpinan baharu. – NasyidKita