KUALA LUMPUR, 4 Januari – Lagu ‘Putusnya Butir Tasbihku’ nyanyian gandingan kumpulan Ustaz 3 Beradik dan Fadzil Far East diumumkan sebagai juara Anugerah Carta IKIMfm 2025 (ACI’25) yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam malam tadi.
Lagu tersebut juga menerima kemenangan berganda apabila menerima Anugerah Persembahan Terbaik.
Kemenangan itu melayakkan gandingan itu membawa pulang RM10,000 beserta trofi untuk gelaran juara, manakala wang tunai RM3,000 beserta trofi bagi Anugerah Persembahan Terbaik.
Naib Juara ACI’25 pula dimenangi gandingan kumpulan Simfoni dan Ezad Lazim menerusi lagu ‘Terus’ yang turut memenangi Anugerah Lirik Terbaik, manakala lagu ‘Husnul Khatimah’ nyanyian kumpulan Rabbani menduduki tempat ketiga. Kumpulan Fetya menerusi lagu ‘Taufan Al-Aqsa’ tidak pulang dengan tangan kosong apabila berjaya memperoleh Anugerah Vokal Terbaik.
Naib Juara membawa pulang wang tunai RM7,000 beserta trofi, tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta trofi serta anugerah-anugerah lain membawa pulang wang tunai RM3,000 beserta trofi.
Acara penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil dan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin.
ACI’25 dianjurkan oleh IKIM dengan sokongan penaja utama Komuniti Dakwah Tarbiah (KDT), Insaf Insani, Mardhiyyah Hotel & Suites dan UiTM – NasyidKita
