KUALA LUMPUR, 5 November – Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (MUNSYID Malaysia) menyeru semua penggiat nasyid tempatan untuk mendaftar dan menjadi ahli persatuan tersebut bagi memudahkan komunikasi dalam persatuan.
Exco Keahlian dan Kebajikan MUNSYID Malaysia, Halim Ahmad berkata masih ramai penggiat nasyid yang belum mendaftar secara rasmi dan bakal mengembalikan sistem keahlian secara tersusun.
“Menerusi sistem keahlian yang terkini, pelbagai perancangan sedang dilakukan bagi memberikan manfaat buat ahli seperti program peringkat dalaman, program tanggungjawab sosial dan pelbagai lagi,” katanya.
Halim menambah, penggiat nasyid sama ada penyanyi berkumpulan atau solo, penerbit, komposer, penulis lirik, penyusun muzik, pemuzik, jurutera muzik, jurulatih nasyid, pengurus artis, pengamal media, juruhebah, juruacara, pempengaruh, pencipta kandungan dan pendakwah bebas akan melalui proses penilaian daripada Jawatankuasa MUNSYID Malaysia sebelum kelulusan menjadi ahli dan pembayaran yuran.
Penggiat nasyid yang ingin mendapatkan informasi lanjut dan mendaftar sebagai ahli MUNSYID Malaysia boleh menghubungi persatuan di laman media sosial Facebook dan Instagram. – NasyidKita
