
KUALA LUMPUR, 21 Disember – Dunia nasyid tanah air kehilangan seorang lagi bintang apabila Haji Nordin Jaafar, 49, menghembuskan nafas terakhir pada pagi ini, 21 Disember 2024, pada jam 7.30 pagi. Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Desa Kaloi selepas solat Zohor.
Haji Nordin, yang dilahirkan pada 26 November 1975, merupakan penyanyi kumpulan nasyid popular Alarm Me dan Raihan. Selain itu, Allahyarham juga pernah bertugas bersama Inteam Publishing, di mana beliau aktif dalam penerbitan buku agama, ilmiah dan motivasi.
Antara karya yang meninggalkan kesan mendalam kepada peminat ialah lagu Bulan-Bulan Islam yang dihasilkan sepenuhnya oleh beliau ketika bersama dalam kumpulan Alarm Me pada tahun 1999.
NasyidKita ingin mengucapkan salam takziah kepada keluarga Haji Nordin Jaafar, semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. – NasyidKita