
KUALA LUMPUR, 31 Julai – Penyanyi nasyid dan pendakwah, Nazrey Johani, 54, dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Kota Kinabalu sejak Ahad lalu selepas mengalami masalah jantung dan sukar bergerak.
Menurut sumber yang dikongsikan BH Online, isteri Nazrey, Habibah Johhny memaklumkan kesibukan kerja sejak beberapa bulan lalu menyebabkan bekas anggota kumpulan nasyid Raihan itu mengalami tekanan.
Tambah beliau, Nazrey telah menjalani pembedahan bagi memasukkan tiub dan belon ke jantung dan kini berada dalam keadaan stabil. Bagaimanapun, doktor menasihatkan agar beliau berehat sepenuhnya selama sebulan dan menangguhkan sebarang perjalanan jauh ke Semenanjung Malaysia selama sekurang-kurangnya enam bulan lagi.
Mengikut perancangan, Nazrey sedang membuat persediaan bagi persembahan di sebuah acara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di samping baru selesai dengan persembahan di Port Dickson dengan kumpulan The Zikr. Nazrey juga terlibat dengan sesi latihan dan rakaman bersama kumpulan The Zikr yang turut berkolaborasi dengan Yabang.
Berkongsi detik cemas mengenai serangan jantung Nazrey, Habibah mendedahkan Nazrey mula mengadu sakit dada sejak Sabtu sehinggalah keadaan menjadi lebih serius pada keesokan harinya semasa mereka menghadiri sebuah program anak sulungnya di Keningau.
Bertindak pantas untuk mendapatkan rawatan awal, Habibah membawa Nazrey ke klinik berdekatan untuk rawatan awal dan diminta untuk dihantar ke Hospital Keningau sebelum disarankan ke sebuah pusat perubatan swasta di Kota Kinabalu.
Sebelum ini, berita mengenai keadaan kesihatan Nazrey dimaklumkan kepada BH Online oleh bekas Pegawai Perhubungan Awam Warner Music Malaysia, Mas Ayie Mas Omar. – NasyidKita