KUALA LUMPUR, 20 Januari – Muzik video Doa Khatam Qur’an yang dipersembahkan oleh penyanyi dan komposer MoShark menerusi janaan kecerdasan buatan (AI) merupakan satu percubaan bagi membawakan dimensi visual yang lebih segar dalam karya-karya Islamik.
Menurut MoShark, visual sinematik yang mempamerkan seni bina masjid dan gaya hidup Muslim yang menghayati ajaran Islam dalam muzik video lagu terbaharunya itu adalah sebuah eksperimen kreatif yang diharapkan dapat membuka lembaran baharu dalam dunia seni hiburan tempatan.
“Saya ingin membawa mesej Islamik ke dimensi visual yang lebih segar, mudah diakses, dan dekat di hati generasi digital. Teknologi AI bukan sekadar alat tetapi ia kini menjadi jambatan untuk kita menyampaikan mesej dakwah melalui medium moden,” katanya.
Keseluruhan muzik video tersebut dihasilkan oleh pakar tempatan menerusi pasukan NuZone AI Labs di bawah naungan MoShark Production.
Menurut wakil daripada NuZone AI Labs, proses penghasilan muzik video tersebut menggunakan pelbagai platform seperti enjin penjanaan video, proses mempelajari pergerakan bibir, reka bentuk model watak, arahan kepada gaya sinematik setiap babak dan penggubahan secara digital menjadikan hasil visual yang realistik seperti dirakamkan di lokasi yang sebenar.
“Kami mahu membuktikan bahawa AI bukanlah ancaman, tetapi satu peluang untuk bereksplorasi. Kami berharap lebih ramai bakat Malaysia dapat mempelajari dan memanfaatkan teknologi ini sebagai sumber pendapatan baharu,” katanya.
Doa Khatam Qur’an telah dilancarkan pada 31 Disember 2025 menerusi platform Youtube MoShark Channel. – NasyidKita
