KUALA LUMPUR, 26 November – Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (MUNSYID Malaysia) bakal mewujudkan takwim yang melibatkan acara-acara penggiat nasyid, meliputi persembahan pentas berbayar mahupun program yang disiarkan di televisyen dan radio pada tahun hadapan.
Presiden MUNSYID Malaysia Muhammad Hazamin Harun berkata, takwim tersebut bakal mempermudahkan pemasaran acara yang bakal berlangsung, di samping mengelakkan pertembungan peminat untuk memilih acara yang telah diatur serta persaingan sesama penggiat nasyid tempatan.
“Penganjuran yang sepatutnya berjaya boleh jadi hambar hanya kerana berlaku pertindihan tarikh atau terlalu rapat antara satu sama lain. Akhirnya ada yang terpaksa menanggung kerugian, walau niat asalnya sangat baik,” katanya melalui platform media sosial.
Takwim tersebut juga akan memberikan ruang kepada penggiat nasyid untuk berbincang, membuat kaji selidik serta mengenalpasti tarikh yang bersesuaian dengan kalendar industri seni tempatan. Menerusi takwim tersebut Muhammad Hazamin berharap ahli-ahli persatuan akan dapat membantu mempromosikan acara-acara daripada penggiat seni lain.
“MUNSYID Malaysia menyeru semua penggiat nasyid atau penganjur yang ingin menganjurkan acara bertemakan nasyid bagi tahun 2026 untuk menghubungi dan memaklumkan kepada urusetia agar dapat dimasukkan ke dalam takwim bagi tahun hadapan. ” katanya.
Menurut sumber dari MUNSYID Malaysia, acara yang bakal diadakan pada Disember tahun ini dan awal tahun hadapan adalah Konsert This is UNIC pada 20 Disember, Anugerah Carta IKIMfm (3 Januari), Konsert Serikandi yang akan menampilkan kumpulan Hijjaz dan UNIC (10 Januari) dan Konsert Nur Kasih Inteam (1 Februari), manakala Konsert Lagenda Nadamurni yang dijadualkan pada Disember ini ditangguhkan ke tahun hadapan.
Turut dijangkakan bakal menemui peminat nasyid pada tahun hadapan adalah Konsert Hijjaz, Anugerah Carta Nasyid 114 TVAlHijrah dan Konsert The Zikr. – NasyidKita
