
KUALA LUMPUR, 10 Okt – Penantian peminat muzik nasyid tanah air akhirnya terjawab apabila kumpulan nasyid terkenal UNIC, bakal mengadakan konsert istimewa ‘This Is UNIC’ pada 20 Disember ini di Idea Live Arena, dekat sini.
Konsert yang dijadual bermula jam 8.30 malam itu dijangka bakal mengulangi fenomena konsert daripada kumpulan-kumpulan nasyid sebelum ini yang berjaya mencatatkan kehadiran penonton yang menggalakkan.
Menurut kenyataan kumpulan UNIC di media sosial, penjualan tiket bagi konsert tersebut akan mula dijual bermula 17 Oktober ini melalui laman web rasmi Ticket2U dengan kategori Demi Cinta Suci pada harga RM89, Balqis (RM99), Mahligai Kasih (RM119), Zinnirah (RM159), Hanya Tuhan Yang Tahu (RM199) dan Ainul Mardhiah (RM249).
View this post on Instagram
Sebelum ini, NasyidKita melaporkan kumpulan yang menampilkan Bazli Hazwan, Fakhrul Radhi dan Fitri Haris itu telah mencipta sebuah akaun Instagram terbaharu dengan nama @ThisIsUNIC yang dikenalpasti untuk menjadi platform hebahan konsert berkenaan.
Kali terakhir UNIC mengadakan persembahan berskala besar adalah konsert ReUNIC Live In Concert – See You Di IPT Musical pada Oktober 2022 yang menghimpunkan ahli dan bekas ahli kumpulan berkenaan. – NasyidKita