KUALA LUMPUR, 26 November – Berbaki kurang dua minggu, Konsert Lagenda Nadamurni yang dijadualkan berlangsung pada 7 Disember ini di Idea Live Arena terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan.
Menurut pengumuman yang dibuat menerusi platform media sosial Nada Murni, penangguhan ini terpaksa dilakukan atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.
“Penganjur mendapati beberapa komponen persiapan termasuk prestasi promosi yang tidak mencapai sasaran asal serta keperluan penyelarasan dalaman masih belum berada pada tahap optimum untuk memastikan penganjuran konsert yang berkualiti tinggi. Penangguhan ini dibuat bagi menjaga kepentingan semua pihak, termasuk penonton, rakan strategik, penaja, pihak media, serta artis-artis yang terlibat,” katanya.
Karri Talk Production dan Westzone Entertainment juga sedang mempertimbangkan tarikh baharu pada tahun hadapan dan perbincangan bersama pihak pengurusan artis yang terlibat sebelum memaklumkan tarikh konsert. Penganjur juga membuka pilihan tuntutan bayaran semula kepada penonton yang ingin membuat tuntutan.
“Bagi pemegang tiket yang ingin membuat tuntutan bayaran semula, anda boleh menghubungi pihak penganjur atau platform pembelian tiket iLasso Tickets dan Fantopia,”
Di samping kumpulan Nadamurni yang dianggotai oleh ahli-ahli kumpulan Hijjaz dan Rabbani, konsert tersebut juga akan dijayakan oleh persembahan daripada Ustaz Akhil Hayy dan Saujana, serta tausiah daripada Ustazah Asma’ Harun. – NasyidKita
