
KUALA LUMPUR, 21 September – Kumpulan nasyid lagenda, Rabbani berjaya memukau hampir 5,000 penonton menerusi persembahan berdurasi 2 jam di Konsert Intifada Rabbani yang berlangsung di Idea Live Arena Petaling Jaya pada Sabtu lalu.
Aura dan magis kumpulan yang popular pada sekitar tahun 90-an dan 2000 masih lagi terasa apabila kehadiran mereka di segmen pertama dengan berpakaian baju tradisional Melayu membawakan lagu Assalamualaikum sebagai lagu pembukaan persembahan.
Lagu-lagu yang dibawakan oleh kumpulan Rabbani di segmen pertama adalah Bila Nur Melimpah Di Hati, Cari Pasangan dan Anak Soleh. Suasana menjadi sayu apabila Rabbani membawakan lagu Di Pondok Kecil yang turut dinyanyikan bersama kumpulan Aeydan.
Kumpulan Aeydan yang merupakan generasi pelapis Rabbani seterusnya mengambil tempat di atas pentas dan membawakan lagu popular mereka iaitu Bintang dan Purnama.
Selain daripada membawakan lagu-lagu popular mereka di segmen kedua dan ketiga seperti Handzalah, Satu Qiblat Yang Sama, Apa Yang Kau Tahu, Syahadah dan Pergi Tak Kembali, Rabbani juga turut berduet bersama Yabang menerusi Pejalan Malam dan Khalifah. Turut sepentas bersama Rabbani ialah kumpulan Brothers yang membawakan lagu-lagu ikonik mereka iaitu Teman Sejati dan Untukmu Teman.
Di samping mendengarkan hiburan dan nyanyian, Rabbani juga tidak melupakan nasihat-nasihat dan seruan kepada perdamaian dalam setiap selingan persembahan mereka.
Mengakhiri konsert, Rabbani membawakan lagu Intifada bersama kesemua artis-artis jemputan pada malam tersebut.
Menerusi perkongsian Rabbani di media sosial, kumpulan nasyid itu mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah bekerja keras dalam menjayakan acara tersebut, serta barisan artis dan peminat-peminat nasyid yang hadir. – NasyidKita