KUALA LUMPUR, 17 Oktober – Setelah melihat sambutan konsert yang memberangsangkan, kumpulan nasyid terkenal, Inteam bakal hadir dengan sebuah konsert berskala besar pada 1 Februari 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih yang dianjurkan oleh ICON Entertainment itu dijangka dapat memuatkan lebih 9 ribu peminat berbanding di lokasi terdahulu yang hanya dapat menempatkan 5 ribu tempat duduk, membolehkan lebih ramai peminat nasyid menikmati persembahan bertenaga daripada kumpulan tersebut.
Iman Tang selaku pengasas ICON Entertainment ketika sidang media konsert pada Rabu berkata, konsert tersebut merupakan konsert bergenre nasyid dan kerohanian yang pertama berlangsung di lokasi tersebut dan dikendalikan oleh syarikat pengurusan acara itu.
“Sebagai penganjur, kami meraikan karyawan seni dalam pelbagai sektor dan genre muzik. Tentu sahaja salah satu genre yang tidak kami lupakan adalah yang bersifat nasyid atau kerohanian. Jika ada sokongan, kandungan menarik serta penganjuran yang tersusun, saya yakin kita mampu mengangkat semula genre ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih bakal menampilkan empat ahlinya iaitu Mohd. Syahril Abdul Khalid, Abdul Rahim Osman, Hisyam Ahmad dan Hazamin Harun serta beberapa artis jemputan istimewa yang tidak diumumkan.
Lebih menarik, konsert ini turut menawarkan cabutan bertuah kepada penonton yang hadir termasuk pakej umrah bernilai RM8,999 untuk enam orang, dua unit skuter dan sebuah telefon pintar.

Peminat Inteam yang ingin mendapatkan tiket konsert boleh membuat pembelian bermula 24 Oktober, jam 11 pagi dengan harga RM168 untuk kategori Dia, RM258 (Kerana Cinta), RM288 (Bisikan Nurani), RM328 (Kasihku Abadi), RM368 (Kias Cinta), RM388 (Selimut Kasih), RM428 (Nur Kasih) dan RM488 (Kasih Kekasih) di platform Ticket2U. – NasyidKita
