KUALA LUMPUR, 12 Februari – Konsert kumpulan nasyid, Darwish yang sepatutnya berlangsung di Dewan Konsert Seri Budiman UiTM Shah Alam pada 18 April ditunda ke tarikh baharu iaitu 4 Julai hadapan.
Berita tersebut diumumkan oleh Faiz yang merupakan ahli kumpulan itu menerusi satu mesej ringkas kepada NasyidKita, hari ini.
Menurut Faiz, penangguhan ini dibuat selepas mendapatkan pandangan semua pihak berkaitan rangka promosi dan pertindihan tarikh dengan acara besar lain.
“Mengambil kira masa bagi mempromosi konsert ini yang terlalu singkat serta tarikh penjualan tiket yang dijadualkan pada 16 Februari ini hampir dengan cuti hari perayaan serta sambutan Awal Ramadan, kami terpaksa menganjakkan tarikh konsert dan tarikh penjualan tiket,” katanya ketika dihubungi NasyidKita.

Faiz berkata, konsert yang sepatutnya berlangsung pada 18 April itu juga bertindih dengan program-program nasional seperti Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) dan komitmen artis-artis jemputan yang telah dirancang.
Ditanya tentang komitmen Darwish dalam menjayakan konsert walaupun terpaksa ditangguhkan, Faiz berkata konsert tersebut akan terus menjadi fokus mereka dalam meraikan 14 tahun penubuhan kumpulan itu.
“Darwish sentiasa positif untuk melihat kesemua 550 tempat duduk akan dapat dijual apabila penjualan dibuka nanti. Menerusi rangka promosi yang lebih giat dijalankan lebih-lebih lagi pelajar universiti masih berada dalam minggu kuliah pada hari konsert, kami berharap dapat menghiburkan semua yang hadir nanti,” katanya.
Darwish mengumumkan konsert tersebut adalah konsert yang pertama dan terakhir yang bagi kumpulan itu. Penjualan tiket akan bermula pada 17 April ini menerusi platform Ubertickets. – NasyidKita
