KUALA LUMPUR, 8 November – Nama kumpulan Varianz pasti tidak asing dalam kalangan peminat lagu-lagu nasyid tanah air. Sepanjang beberapa tahun bergiat aktif, Varianz popular dengan lagu-lagu seperti Pergilah Dunia, Hingga Ke Akhirnya dan Lagu Cinta sekitar awal tahun 2010.
Setelah lama menyepi daripada karya-karya nasyid sebagai sebuah kumpulan, mereka melancarkan sebuah lagu baharu ‘Kami Kembali’ dengan menggunakan nama Varian sebagai nama baharu mereka.
MoShark, atau nama sebenarnya Mohammad Shakir Jamil yang mewakili Varian berkata, ‘Kami Kembali’ merupakan sebuah lagu yang melambangkan perjalanan, perjuangan, dan keyakinan kumpulan tersebut untuk bangkit semula sebagai penggiat nasyid.
“Menghasilkan Kami Kembali adalah suatu perjalanan muzik yang penuh makna. Lagu ini menggambarkan kembalinya Varian ke arena muzik dengan lebih matang, lebih kuat dan lebih yakin. Susunan muzik yang segar, vokal harmoni yang menjadi identiti mereka, serta mesej penuh semangat menjadikan karya ini antara yang dinantikan para peminat setia,” katanya kepada NasyidKita baru-baru ini.
Ditanya mengenai harapan terhadap semangat baharu mereka, MoShark mendedahkan kehadiran semula kumpulan tersebut bukan sekadar mengisi ruang, tetapi janji mereka untuk memberi kelainan dalam muzik dakwah moden.
Selain MoShark, Varian dianggotai oleh Masriezan Masri dan Mohd Zairy.
‘Kami Kembali’ dicipta sepenuhnya oleh MoShark manakala susunan muzik dilakukan oleh Ruby Wahyu. Video lirik lagu tersebut boleh ditonton di platform Youtube MoShark Channel bermula 7 November lalu. – NasyidKita
