KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Meraikan ulangtahun ke-25 dalam melahirkan nama-nama besar menerusi muzik dan mesej Islami, Awakening Music mengumumkan Jacqueline Haider sebagai artis di bawah naungan syarikat rakaman berkenaan.
Lebih mengujakan, Jacqueline yang lebih dikenali sebagai Jaqlyn merupakan artis muslimah pertama yang berada di bawah label berkenaan.
Jaqlyn merupakan seorang wanita yang dilahirkan di Graz, Austria dan dibesarkan dengan pelbagai budaya menarik disebabkan bapanya berketurunan Austria dan ibunya berketurunan Georgia. Minat Jaqlyn terhadap muzik dipupuk seawal usia 3 tahun disebabkan keluarganya telah memperkenalkannya dengan lagu-lagu bergenre balada daripada penyanyi Celine Dion dan Lara Fabian.
Perjalanan seni Jaqlyn lebih menyerlah apabila menyertai The Voice of Germany 2024 dan nyanyiannya dengan lagu ‘Nothing’s Gonna Change My Love For You’ berjaya mencuri perhatian juri dan menerima pujian terhadap bakat luar biasanya. Penampilannya yang berhijab di pentas rancangan realiti itu membuka mata banyak pihak atas keberaniannya membawa imej Muslimah ke arus perdana hiburan di Eropah.
Jaqlyn yang menganut agama Kristian sebelum ini mengambil keputusan besar apabila memeluk Islam pada 2023 dan memilih untuk mengenakan hijab.
“Hijab tidak akan menghentikan saya untuk mencapai impian saya. Saya juga menjadi lebih berani apabila mengenakan hijab,” katanya.
Memulakan kerjaya nyanyian secara profesional bersama Awakening Music, Jaqlyn telah mengeluarkan single pertama “This Is Who I Am” pada 1 Oktober lalu. Lagu berkenaan menerima sentuhan lirik daripada Maher Zain, Paddy Dalton, Bara Kherigi, manakala komposer daripada Maher Zain sendiri.
Berkongsi pengalaman belakang tabir lagu berkenaan di media sosial, Jaqlyn tidak menghadapi masalah besar apabila masa yang diambil pada sesi rakaman lagu tersebut hanya sekitar satu jam sahaja.
“Saya merasakan perasaan yang natural dan tiada tekanan berlebihan, disebabkan karya ini amat dekat di hati saya. Saya berbesar hati untuk berkongsi pegangan dan nilai-nilai saya melalui muzik dan mengharapkan lagu ini dapat membuatkan orang lain untuk mengekspresikan nilai-nilai kebaikan mereka,” katanya. – NasyidKita
