KUALA LUMPUR, 16 Februari – Penyanyi nasyid dan pendakwah muda, Syed Salahuddin, kembali mewarnai industri muzik Islamik tanah air dengan pelancaran single terbaharu berjudul Isyfa’lana.
Bercerita tentang karya terbaharunya, Syed Salahuddin menjelaskan lagu tersebut menggabungkan elemen muzik Arab dan Nusantara di samping tidak mengurangkan elemen kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.
“Isyfa’lana dicipta untuk mudah melekat di telinga pendengar. Walaupun muziknya yang rancak, emosi lagu ini menggabungkan harapan kita yang mendambakan pertolongan Baginda Nabi di hari kiamat dan kegembiraan kerana hanya Nabi yang mampu memberi syafaat kepada umatnya,” jelas beliau.
Syed berkata, pengharapan kepada pertolongan Nabi Muhammad SAW perlulah dizahirkan dalam gaya hidup seorang Muslim, termasuklah mengamalkan sunnah-sunnah seperti dakwah mengajak kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran.
“Dakwah ada cara dan seninya yang tersendiri. Cara menegur yang baik bermula dengan niat. Niat menegur bukan untuk merasa diri lebih baik, tetapi kerana sayang kepada saudara kita kerana Allah. Malangnya, ramai yang menegur dengan cara perli, menghina dan menjatuhkan,” ujar Syed.
Karya terbaharu itu hadir selepas kejayaannya merangkul pelbagai anugerah dalam pelbagai pertandingan, seperti Anugerah Vokal Terbaik dan Muzik Video Terbaik pada Anugerah Carta IKIM 2025 serta memenangi Persembahan Terbaik di Anugerah Carta 114 TV AlHijrah.
Selain Isyfa’lana, terdapat enam buah lagu baharu yang bakal diterbitkan bersempena Projek Khas Ramadan & Raya 2026 Tarbiah Sentap bersama Komuniti Dakwah Tarbiah.
Isyfa’lana kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama dan di YouTube Tarbiah Sentap. – NasyidKita
