KUALA LUMPUR, 14 September – Kumpulan nasyid Inteam berjaya mendominasi kategori Vokal Berkumpulan Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) 24 yang berlangsung semalam.
Inteam memenangi kategori tersebut menerusi lagu Nasab Nabi menewaskan empat pencabar lain termasuk kumpulan nasyid Awla, Dolla, KRU dan TE3N.
Hisyam dalam ucapannya mewakili Inteam dalam acara tersebut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua peminat lagu-lagu nasyid yang sentiasa menyokong perjalanan seni mereka.
Kali terakhir Inteam memenangi AIM adalah pada edisi ke-19 yang dianjurkan pada 2010 bagi kategori Album Nasyid Terbaik dan Lagu Nasyid Terbaik serta turut tercalon dalam Album Terbaik, Lagu Terbaik dan Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di Dalam Lagu.
Sementara itu, Biar Satu Dunia Tahu nyanyian Faizal Tahir & Mirwana berjaya memenangi kategori Lagu Nasyid Terbaik, menewaskan Ulul Azmi nyanyian Awla, Putusnya Butir Tasbihku (Ustaz 3 Beradik dan Fadzli Fareast), Hanya Dia (Aiman Sidek & Halim Ahmad), dan Kudus Palestin (Lah Ahmad & Inteam).
Penerima anugerah bagi kategori-kategori yang dipertandingkan akan menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi bernilai RM50,000 di samping trofi. Pemenang bagi kategori utama Album Terbaik bakal membawa pulang DKK berjumlah RM200,000. – NasyidKita
