
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Seluruh penggiat nasyid dan dakwah diseru untuk menggunakan karya kreatif untuk menyampaikan mesej keamanan sejagat, terutamanya perjuangan rakyat Palestin yang ditindas.
Presiden Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (MUNSYID Malaysia) Muhammad Hazamin Harun, berkata pentas seni adalah medium yang amat penting bagimengangkat isu kemanusiaan agar terus dekat di hati masyarakat.
“Sebagai penggiat nasyid dan dakwah, kita memikul amanah untuk menyampaikan mesej ini melalui seni suara, karya kreatif, serta aktiviti masyarakat. Ayuh kita nyatakan sokongan dengan suara kita, doa kita dan solidariti kita,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook MUNYSID Malaysia.
Mesej Presiden tersebut adalah sebahagian daripada penyataan sokongan MUNSYID Malaysia kepada gerakan Sumud Nusantara dan Global yang telah digerakkan di pelbagai negara seluruh dunia untuk membawa suara keamanan dan menggesa untuk menghentikan peperangan yang berlaku di Palestin.
Sementara itu, MUNSYID Malaysia turut mengajak seluruh penggiat nasyid dan dakwah menyertai Himpunan Munsyid Teramai Sokong Gaza pada 23 Ogos, serta Pertandingan Nasyid bertema Gaza pada 24 Ogos yang bakal berlangsung di Dataran Merdeka.
Sumud Nusantara menghimpunkan pertubuhan bukan kerajaan, pertubuhan dakwah, penggiat seni dan masyarakat bagi menyokong perjuangan rakyat Palestin melalui konvoi darat, laut, siri-siri kempen kesedaran dan program budaya, manakala Sumud Global menyasarkan gerakan antarabangsa, termasuk siri pelayaran flotilla kemanusiaan terbesar bagi memasuki kepungan Gaza melalui jalan laut.
Majlis pelepasan delegasi sembilan negara yang diketuai negara Malaysia dijadualkan berlangsung pada 23 Ogos dan bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Karnival Sumud Nusantara anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan akan berlangsung pada 22 hingga 24 Ogos 2025 di Dataran Merdeka, dengan sasaran lebih seratus ribu pengunjung. Antara acara yang bakal diadakan adalah Malam Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza, rakaman audiosiar bersama pempengaruh dan persembahan daripada penggiat seni tempatan – NasyidKita