KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun sekali lagi diiktiraf antara individu Muslim paling berpengaruh di dunia apabila disenaraikan dalam kategori Seni dan Budaya The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims 2026 terbitan Royal Islamic Strategic Studies Centre (RISSC) yang berpangkalan di Jordan.
Hafiz yang telah menerima pengiktirafan semenjak 2015 diiktiraf sebagai penyanyi nasyid, penerbit dan usahawan yang bergerak solo pada 2007 dan berjaya menembusi pasaran antarabangsa melalui siri album Zikir Terapi Diri.
Selain Hafiz, Biduanita Negara Dato’ Seri Siti Nurhaliza juga turut disenaraikan antara individu berpengaruh dalam bidang yang sama. Sebelum ini, kumpulan nasyid Raihan juga pernah berada dalam senarai tersebut.
Menurut laporan edisi 2026 itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menduduki tempat ke-10 tokoh dunia, meningkat berbanding kedudukan ke-15 pada tahun 2025 hasil peranan beliau sebagai pemimpin kerajaan serta lantang dalam isu kemanusiaan sejagat.
Senarai tahunan The Muslim 500 diterbitkan sejak 2009 bagi mengiktiraf 500 individu Islam paling berpengaruh di dunia merangkumi bidang kepimpinan, keagamaan, pendidikan, ekonomi dan kemanusiaan. – NasyidKita
