
KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Talk To My Manager yang sepatutnya melabuhkan tirainya pada 5 Oktober menerima kejutan apabila pihak produksi telah menambah satu lagi minggu sebagai ‘grand finale’ yang akan bersiaran pada 12 Oktober ini.
Pengacara Datuk Aznil Haji Nawawi yang menyampaikan pengumuman tersebut berkata, tambahan satu minggu bagi rancangan realiti itu adalah hasil daripada sambutan luar biasa daripada penonton.
Di samping pengumuman minggu tambahan, Datuk Aznil juga telah mengumumkan Anugerah Most Valuable Manager of The Week dan Anugerah Vokal Terbaik dimenangi oleh pasangan Amad dan pengurus Siti Saerah, manakala pasangan Marsya dan pengurus Liza Hanim berjaya memperoleh Anugerah Persembahan Terbaik untuk persembahan malam tersebut.
Pengumuman itu menjadikan pasangan Hadie dan pengurus Ina Naim beserta lima peserta lain iaitu Marsya (Liza Hanim), Ammar (Ameng Spring), Amad (Siti Saerah), Thalita (Shuib) dan Auddra (Sharifah Shahirah) akan kembali berentap pada minggu akhir.
Pada minggu yang bertemakan Recharge dan Reduels, pasangan Thalita dan Shuib yang sepatutnya membuat dua persembahan tidak dapat hadir disebabkan kondisi kesihatan yang tidak memuaskan.
Hadie yang menyampaikan lagu #AwakKatMane daripada Taufik Batisah dan lagu duet Dealova dan Rapuh bersama Marsya mendapat pujian daripada juri tetap, Che Puan Sarimah dan Datuk AC Mizal serta juri jemputan Datuk Syafinaz Selamat yang dikatakan menampakkan peningkatan daripada kualiti persembahan dari minggu ke minggu.
Bakal juara TTMM yang akan membuat penampilan pada minggu akhir bertemakan Redemption dan Reconnect bakal menerima hadiah wang tunai RM30,000 dan trofi sumbangan Astro. – NasyidKita