KUALA LUMPUR, 25 Oktober – Dr. Mohamad Fitri Mohamad Haris dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya memperoleh Anugerah Seni dan Kreativiti bagi Kelompok Seni Persembahan di Anugerah Akademik Negara (AAN) 2025 yang berlangsung pada Jumaat lalu.
Fitri yang merupakan ahli kumpulan UNIC diiktiraf menerusi kepakaran dalam muzik Islam kontemporari dengan penglibatan secara langsung dengan penyelidikan dan pengalaman industri kreatif secara menyeluruh. Hasil kajian dan kepakaran beliau telah dibentangkan di pelbagai persidangan antarabangsa termasuk di China, United Kingdom, Indonesia, Singapore, Mesir serta di dalam sidang kemuncak persidangan atas talian di United States of America. Antara sumbangan ilmiahnya ialah buku Popular Music: Making Islamic Music in Malaysia dan projek penyelidikan “This is Nasyid” bersama Kementerian Komunikasi.
Sebagai penerima anugerah, beliau menerima hadiah wang tunai RM50,000 selain trofi dan sijil. Anugerah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Kejayaan Fitri diraikan bersama Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, Naib Canselor UUM; Prof. Madya Ts. Dr. Adzrool Idzwan Ismail, Dekan Sekolah Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) UUM; Pengarah UTLC UUM, Prof. Madya Dr. Siti Noor dan Presiden Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (MUNSYID Malaysia), Hazamin Harun.
Fitri yang berkongsi berita gembira di media sosialnya mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyokong kerjayanya termasuklah keluarga, pihak pengurusan tertinggi UUM dan ahli kumpulan UNIC.
Dalam majlis yang sama, pakar arkeologi, Prof Emeritus Datin Dr Siti Zuraina Abdul Majid dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara sebagai mengiktiraf penemuan-penemuan saintifik bermula sejak akhir 1970-an yang merevolusikan pemahaman prasejarah Malaysia melalui penyelidikan di Lembah Lenggong dan Niah.
Selain Fitri, tujuh lagi ahli akademik yang menerima pengiktirafan AAN adalah Prof Madya Dr Gan Wee Chen dari Universiti Xiamen Malaysia bagi Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal untuk kategori Bidang Sains, Prof Madya Dr See Kok Fong dari Universiti Sains Malaysia (Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal untuk kategori Bidang Sains Sosial dan Sastera), Prof Madya Dr Norhayati Mohd Noor dan Prof Madya Dr Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan dari Universiti Sains Malaysia (Anugerah Penerbitan Buku selain Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk).
Anugerah Pengajaran pula dimenangi oleh Dr Manraj Singh Cheema dari Universiti Putra Malaysia bagi kategori Kelompok Sains Kesihatan; Prof Dr Haslinda Ibrahim dari UUM (Kelompok Sains Tulen) dan Dr Rahimah Jamaluddin dari UPM (Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan).
AAN diperkenal sejak 2006 adalah suatu usaha berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mengiktiraf dan menghargai ahli-ahli akademik tempatan yang memartabatkan nama Malaysia di persada dunia dalam pelbagai bidang ilmu. – NasyidKita
