KUALA LUMPUR, 29 Disember – Menjelang Anugerah Carta IKIMfm yang bakal berlangsung pada 3 Januari depan, penyanyi dan komposer Daqmie berkongsi keterujaannya bakal menjayakan pertandingan itu.
Bakal bergandingan dengan kumpulan FINE menerusi lagu Khadijah Cinta Dari Syurga menggantikan Munif Hijjaz, lagu yang dicipta oleh Daqmie dan Alfa Booty manakala lirik daripada Zuryati Isa itu adalah antara 10 lagu yang bakal merebut gelaran juara program itu.
Daqmie menerusi perkongsiannya di media sosial turut memuji kumpulan tersebut yang sentiasa berusaha dan bersabar untuk memastikan mereka kekal relevan sejak sedekad yang lalu.
“Kumpulan FINE terpaksa menyerahkan lagu Tangis Sebatang Tamar 11 tahun yang lalu kerana penerbit merasakan mereka pada masa itu belum bersedia membawakan lagu yang mempunyai aura yang besar. Oleh sebab itu, saya berjanji untuk menggantikan lagu tersebut dengan sebuah lagu lain yang dapat membawa mereka ke suatu aras yang lebih tinggi,” kata Daqmie dalam perkongsiannya di Facebook.
Selain Khadijah Cinta Dari Syurga, kumpulan tersebut turut bertanding pada Anugerah Carta 114 TV Alhijrah pada 27 Disember lalu menerusi lagu Cerita Cinta Kita. – NasyidKita
