KUALA LUMPUR, 3 September – 5 tahun karya disimpan kerana kekangan masa dan komitmen sebagai pendakwah dan muazin, Ustaz Zoul bersyukur kerana Dodoian Selawat dapat diperdengarkan kepada peminat pada bulan ini.
Ustaz Zoul ketika memberitahu NasyidKita berkata, selepas lagu Barokah Al-Quran yang dilancarkan bersempena bulan Ramadan menerima sambutan yang menggalakkan daripada peminat nasyid tempatan, Dodoian Selawat dirancang lebih awal untuk menemui pendengar bersempena sambutan Maulidur Rasul.
Berkongsi kisah dan idea asal mengenai Dodoian Selawat, Ustaz Zoul mengadunkan elemen selawat dan lagu kanak-kanak ‘Tepuk Amai-Amai’ sekadar untuk mendodoikan anaknya.
“Idea Dodoian Selawat tercetus sejak tahun 2014 sewaktu kelahiran anak keempat. Pada tahun 2018, saya gunakan lagu ini dalam semua persembahan marhaban dan berendoi bersama kumpulan marhaban Masjid Negeri Selangor,” katanya.
Bagi menjadikan lirik dan lagu yang bertepatan dengan cinta kepada Nabi Muhammad SAW, Ustaz Zoul menambah beberapa bahagian lagu dan lirik berbentuk selawat.
Lebih menarik berkaitan Dodoian Selawat, Ustaz Zoul bakal menampilkan muzik video yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI) yang akan disiarkan pada Jumaat ini. – NasyidKita
