
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Lagu Barokah Al-Quran nyanyian Ustaz Zoul terus membuktikan keunggulannya apabila kekal menjadi pilihan pendengar menerusi Carta Salam di radio Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), SalamFM.
Sehingga minggu lalu, lagu yang dicipta sepenuhnya oleh pendakwah dan muazzin Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ini berjaya berada di kedudukan juara sebanyak sembilan kali dan naib juara sebanyak empat kali, menjadikannya antara karya paling konsisten dalam Carta Salam tahun ini.
Kehadiran Barokah Al-Quran nyata memberi impak luar biasa sejak ia mula disenaraikan dalam carta dan mendapat respon positif daripada peminat lagu berkenaan.
Ustaz Zoul, atau nama sebenarnya Hazizul Mastin antara lain merupakan tokoh muazzin yang dihormati di Malaysia, turut menubuhkan Akademi Muazzin yang bertujuan mencungkil bakat baru serta menggilap potensi dan kualiti sedia ada seorang muazzin.
Adakah Barokah Al-Quran akan terus mendominasi atau akan muncul pencabar baharu yang mampu menewaskannya? Segalanya akan terjawab dalam episod Carta Salam seterusnya pada minggu-minggu akan datang.
Disiarkan setiap hari Sabtu jam 11 malam bersama DJ Yunie Yunos, Carta Salam mengetengahkan lagu-lagu berunsur agama, dakwah dan ketuhanan untuk diundi oleh peminat nasyid setiap minggu menerusi pautan di Instagram stesen radio berkenaan bermula pada hari Isnin dan tamat pada jam 5 petang hari Sabtu.
Teruskan mengundi dan dengarkan Carta Salam setiap Sabtu, jam 11 malam hanya di radio SalamFM. – NasyidKita