KUALA LUMPUR, 4 September – Pergolakan dalaman sehingga membawa kepada kekalahan di Festival Nasyid Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (FNKSS) sudah tentu menjadi kekecewaan yang berat untuk ditanggung jurulatih kumpulan nasyid Al-Fateh serta ahli kumpulan nasyid tersebut.
Namun, kumpulan nasyid yang ditubuhkan daripada Sekolah Kebangsaan Sungai Choh Rawang itu mengambil pendekatan positif dengan menerbitkan lagu Terus Melangkah untuk mengembalikan semangat dan mengubati kekecewaan murid-murid sekolah itu.
Aneep ketika dihubungi NasyidKita berkata, Terus Melangkah adalah amat istimewa memandangkan Al-Fateh telah melalui lima generasi sejak tahun 2019 dan pernah melalui kecemerlangan di pertandingan peringkat daerah dan negeri.
“Saya merupakan guru dan merupakan orang yang menubuhkan, melatih dan menguruskan kumpulan Al-Fateh. Al-Fateh pernah menjadi johan dan naib johan sehingga ke peringkat negeri Selangor. Maka, Terus Melangkah adalah lagu yang istimewa kerana selain saya menyanyikan bersama, saya juga menjadi komposer dan penulis lirik lagu ini,” katanya.
Ditanyakan tentang proses pembikinan Terus Melangkah, Aneep berkata Al-Fateh telah melalui latihan vokal sebagai persediaan sebelum masuk ke studio rakaman.
“Al-Fateh ada potensi kerana mereka ada kekuatan tersendiri dari segi vokal, harmoni dan perkusi. Disebabkan ini adalah pengalaman kali pertama Al-Fateh masuk ke studio rakaman, selama lebih sebulan saya dedahkan teknik dan juga latihan suara untuk mereka bersedia. Pada hari rakaman, mereka berjaya melakukan dengan baik dan lagu juga siap dengan sepenuhnya,” katanya.
Meneruskan momentum sedia ada, Aneep berkata Al-Fateh bakal memfokuskan persiapan menghadapi pertandingan nasyid pada tahun hadapan selain membayangkan single kedua kumpulan itu pada tahun hadapan.
Walaupun baru sahaja dilancarkan pada 24 Ogos lalu, sambutan daripada murid-murid dan ibu bapa amat menggalakkan di samping promosi daripada stesen-stesen radio. Terus Melangkah juga boleh didengar menerusi platform penstriman dan muzik video di Youtube Aneepfine. – NasyidKita
