
KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Tiga tahun menyepi daripada sebarang keluaran solo bukan bermakna penulis lirik dan penyanyi Adib Zahar tidak mahu menyanyi mahupun telah melupakan industri muzik tanah air.
Buktinya, lagu Sepertiga yang telah dilancarkan pada 10 Oktober lalu adalah hasil daripada idea yang disimpan, dicipta dan digubah oleh Adib sendiri semasa dirinya dalam tempoh tidak menghasilkan apa-apa karya sebelum ini.
“Tiga tahun bukan proses yang sekejap. Dalam tempoh itu, saya melalui fasa diam, menulis, dan mencari semula tujuan saya dalam muzik. Sepertiga menjadi titik di mana saya cuba memberi sesuatu yang berbeza bukan sekadar ikut arus trending atau mengejar viral, tetapi menghadirkan karya yang benar-benar punya jiwa dan kualiti,” katanya kepada NasyidKita.
Adib menambah, Sepertiga adalah seperti berdialog dengan kisah dirinya sendiri yang akhirnya berani untuk bersuara selepas lama ‘bersembunyi’.
“Lagu ‘Sepertiga’ menyampaikan kisah jiwa yang mencari makna di antara luka dan penyembuhan dalam perjalanan kehidupan. Ia bukan hanya tentang cinta yang hilang, tetapi tentang perasaan yang membentuk jiwa, harapan, kekecewaan, dan akhirnya tenang. Saya biarkan tafsiran lagu ini kepada pendengar kerana saya percaya pendengar akan menerima lagu ini mengikut situasi dan perjalanan hidup mereka sendiri,” katanya.
Adib yang dikenali dengan lagu Akur, Waktu dan Sinar sebelum ini mengakui Sepertiga memberikan keberanian kepadanya untuk bereksperimen dengan tona bunyi baharu genre pop dan R&B dengan bantuan penerbit Hisyam Elharith.
Sepertiga yang dilancarkan selari dengan Hari Kesihatan Mental Sedunia boleh didengarkan menerusi platform YouTube, Spotify, Deezer, dan pelbagai platform digital lain. – NasyidKita