KUALA LUMPUR, 13 Disember – Bukan 7, tetapi 8 buah lagu akan bertanding pada Anugerah Carta 114 yang bakal berlangsung pada 27 Disember ini.
Lagu-lagu yang akan bersaing adalah Kudus Palestin nyanyian Lah Ahmad & Inteam, Jom Solat (UNIC, Aniq Muhai & Naufal Isa), Khaybar Ya Yahood (Imagi, Fendymojo & Fadzli Fareast) dan Rahib dan Singa (Rabithah & Fitri Haris).
Kumpulan Fetya turut bakal merebut gelaran juara dengan lagu Balaklava, Cerita Cinta Kita (Fine), Berantakan (Aswan Anwar & Mahdi Rabithah), manakala Aniq Muhai merupakan satu-satunya peserta solo yang akan membawakan lagu Satu Tubuh.
Pengumuman 8 lagu yang akan ke peringkat akhir diumumkan oleh pengacara Jalal Zaiki pada pusingan separuh akhir yang berlangsung malam ini. Sebanyak 16 lagu bersaing pada peringkat separuh akhir, namun lagu Ketika Hanya NamaMu nyanyian Halim Ahmad terpaksa menarik diri disebabkan komitmen tinggi.
Pusingan separuh akhir dinilai oleh tiga juri, iaitu Shahir Zawawi, Amran Omar dan Farihin Abdul Fatah sebagai ketua juri. – NasyidKita
