
KUALA LUMPUR, 22 September – Persaingan Anugerah Carta IKIMfm kembali pada tahun 2025 dengan 20 lagu telah diumumkan akan bertanding di peringkat separuh akhir.
10 lagu yang bakal bertanding ialah lagu Terus nyanyian Simfoni & Ezad Lazim, Khadijah Cinta Dari Syurga (Fine & Munif Hijjaz), Husnul Khatimah (Rabbani), Fatimah (UNIC), Manik-Manik Sejahtera (Rabbani), Malar Hijau (Syed Salahuddin & One Path), Sebarkan Rahmah (Saff One), Hijrah Demi Ilahi (Penyampai Radio IKIM), Bintang (Aeydan) dan Putusnya Butir Tasbihku (Ustaz Tiga Beradik & Fadzli Fareast).
Baki 10 lagu lain ialah Kembalilah nyanyian Fathi Saleem, Yalla Habibi (Halim Ahmad), Taufan Al-Aqsa (Fetya), Jangan Risau (Aniq Muhai & Adnin Roslan), Asma’ Abu Bakar (Mateen), Biar Satu Dunia Tahu (Faizal Tahir & Mirwana), Zikir Dikir (Hafiz Hamidun & Halim Yazid), Ulul Azmi (Awla & Jenny Nadhirah Chin), Qanaahku (Anugerah) dan Ketika Hanya Namamu (Halim Ahmad).
Pengumuman lagu yang layak ke separuh akhir diumumkan oleh Penerbit dan Penyampai Carta IKIMFM, Erwan Johari pada siaran 6 September dan 13 September lalu.
Carta IKIMfm telah melalui penilaian daripada undian pendengar selama 160 minggu dan berakhir pada 30 Ogos lalu.
Kali terakhir IKIMfm menganjurkan anugerah untuk penggiat nasyid adalah Anugerah Pencinta Nasyid IKIM (APNI 2020) yang disiarkan secara atas talian, menyaksikan lagu Rahsia Dari Langit ciptaan Along Exists dengan lirik dihasilkan Tinta diangkat sebagai juara. – NasyidKita